Puisi Buat Luluku (Syahidatul Munirah)


 

Lulu,

puteriku yang manis
kau  bayanganku
yang selalu mengerti, mencerap dan peduli
segala di sekitar diri.
 
Luluku sayang,
biar kita tak punya sesiapa
untuk memberi  dan berkongsi rasa
mengerti, menyayangi dan mendengar
senandung hati  kita yang ria atau lara
tapi kita berdua
boleh  saling bercerita dan bercanda
lalu sama-sama menyurat lapis-lapis peristiwa
yang singgah atau sekadar menyapa
dalam perjalanan  hidup kita!

27 MAC 2012 – 2.30 PETANG


Menunggu di ruangan Canselori, Tingkat 5 dengan dua orang pensyarah dari Kampus Kejuruteraan. Kemudian, datang Dr. Hafizah dari PP Sains Kemasyarakatan, diikuti kemudiannya oleh Puan Liyana Abdullah @ Janet dari PP Seni.. Hati berdegup kencang, sampai tak lalu nak minum air milo yang dihidangkan. Cuaca sejuk sangat, atau saya yang terlalu gelabah??.. Saya jadi  orang ketiga mengikut giliran – ermmm… pertama dari Kampus Induk. Semuanya 7 orang. 2 orang dari Kampus Kejuruteraan, seorang dari Kampus Kesihatan dan 4 orang dari Kampus Induk.  Pukul 3.15, saya dipanggil masuk.

Pukul 3.45 selesailah giliran saya. Alhamdulillah! Yang lain hak Allah SWT. Saya berserah kepada Dia sahaja. Segera saya bergegas ke Eco-hub pula untuk mesyuarat Seminar Keilmuan Tempatan.

KISAH SEORANG SAHABAT


Semalam (21 Mac 2012), saya ke klinik swasta di Bayan Baru kerana sudah dua malam saya  demam pada waktu malam dan berasa amat sakit pada kedua-dua belah bahu. Meskipun boleh mendapat rawatan percuma di Pusat Sejahtera USM, ataupun di klinik panel USM, saya memilih untuk ke klinik swasta kerana saya mahu cepat. Kalau ke Pusat Sejahtera atau ke klinik panel, biasanya orang terlalu ramai. Lagi pun, saya juga mahu ke Bank Islam dan Bank Rakyat yang juga terletak di Bayan Baru.

Ketika di klinik, tanpa disangka-sangka saya bertemu dengan Salhah (bukan nama sebenar), sahabat saya ketika mengikuti ijazah pertama pada tahun-tahun awal 90-an di USM dahulu. Usia Salhah kini awal 40-an. Dia beberapa tahun lebih muda daripada usia saya kerana  Salhah memasuki USM selepas menamatkan persekolahan tingkatan enamnya, sedangkan  saya pula sesudah beberapa tahun menjadi guru sekolah di Alor Setar dan di Bentong, Pahang Darul Makmur. Salhah kelihatan masih muda dan cantik, tetapi tubuhnya kurus dan matanya seperti membendung duka. Dari kami berbisik-bisik bercerita di dalam klinik, saya dan Salhah kemudiannya memilih untuk menyambung bicara di Restoran Nasi Ayam Besar di Bayan Baru itu. Di situ, saya merisik tanya, kenapa matanya seperti membendung duka.

Salhah bercerita bahawa dia sekarang dalam kes  mahkamah. Saya tanya kenapa? Katanya, kes berebut anak selepas bercerai dengan suaminya.  Aduhai, kasihan Salhah! Kebetulan media massa sedang riuh  menguar-uarkan kisah seorang artis yang berjaya mendapatkan hak penjagaan anaknya di mahkamah. Justeru saya katakan kepadanya, jangan risau kerana kini anak-anak diberi peluang oleh mahkamah untuk memilih sendiri dengan siapakah mereka mahu tinggal. Wajah Salhah semacam lebih ceria setelah mendengar contoh yang saya berikan itu.

Saya dan Salhah terus rancak bercerita walaupun nasi ayam yang kami makan telah habis licin dan air yang kami minum pun tinggal sedikit sahaja lagi di dalam gelas. Saya paling tertarik mendengar cerita Salhah bahawa dia kini bertemu kembali dengan Naim (juga bukan nama sebenar), kawan sekuliah kami dahulu yang menaruh hati kepada Salhah. Kini, pada saat hidup sendirian dan dalam masalah berebut anak-anak dengan bekas suaminya di mahkamah, Salhah berasa bersedia untuk menjadi isteri Naim. Dia berasa perlu akan seseorang untuk menjadi tempat menuturkan dukanya.  Namun keadaan sudah tidak semudah seperti waktu masih belajar di universiti dahulu. Pada ketika itu dia masih gadis dan Naim pun masih bujang lagi.

Kini dia ibu tunggal beranak empat dan Naim pula suami orang.  Naim memang mahu mengambil dia sebagai isteri. Agama Islam pun tidak menegah Naim untuk berbuat demikian. Namun Salhah masih berfikir panjang tentang bagaimana penerimaan isteri Naim dan anak-anaknya yang seramai tiga orang itu kelak terhadap dirinya. Kepala otaknya sudah sekian lama  tepu dengan pelbagai masalah rumah tangga yang tidak putus-putus merundung kehidupannya. Dia berasa sudah letih. Apatah lagi kata Salhah, sejak berkawan kembali dengan Naim, sudah banyak kali dia mendengar cakap-cakap orang  yang tahu tentang hubungannya dengan Naim itu  bahawa dia  perampas suami orang.

Saya hanya mampu berkata kepada Salhah, bersabarlah dan berserahlah segalanya kepada Allah SWT. Mulut manusia memang macam-macam, justeru diperbuatkan Allah  syurga dan neraka. Saya juga berkata kepadanya bahawa jodoh pertemuan itu hak Allah SWT. Manusia yang mengutuk mencaci orang itu ibarat telah menyeluk hak Allah SWT. Telah Allah ajarkan kepada hamba-Nya bahawa ajal maut, jodoh pertemuan, rezeki, semuanya hak mutlak Ilahi Rabbi! Manusia tiada hak untuk memandai-mandai.

Pertemuan kami berakhir sekitar pukul 3.00 petang. Masing-masing kami meminta diri untuk pulang kerana waktu solat Zohor telah menjadi semakin tua. Dalam diri saya dan perjalanan hidup saya hari ini terpahat satu lagi kisah, iaitu kisah hidup seorang sahabat lama!

HARGA SEPASANG KAKI


Pernah suatu masa dahulu, di dalam kelas Penulisan Kreatif, pensyarah saya iaitu Profesor Emeritus Dato’ Haji Shahnon Ahmad  memberi idea kreatif dan mencadangkan supaya ada yang mahu menulis cerpen tentang harga sepasang kaki.

Saya rasa ketika itu tiada seorang pun pelajar yang menyahut idea untuk menghasilkan sebuah cerpen tentang sepasang kaki itu. Macam manalah mahu menulisnya kerana rata-rata pelajar pada masa itu masih muda dan masih belum dapat mengerti akan kepentingan sepasang kaki. Memang semua orang tahu bahawa kaki amat penting kerana kakilah yang membawa mereka ke sana ke mari. Tergerak sahaja di hati mahu ke pasar raya, kakilah yang akan membawa badan ke sana. Mahu pergi bekerja, mahu pergi kuliah, bergegas ke kelas tutorial, mencari makanan dan minuman, semua pergerakan itu terjadi atas bantuan kaki. Maknanya kaki begitu bererti. Namun rasa atau keinginan untuk menulis tentang kaki tetap tidak timbul.

 Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, persoalan kaki ini terus melekat dalam hati dan terbenam jauh  di sudut naluri yang paling dalam. Apabila ayah pergi buat selama-lamanya pada tahun 2005 dengan kaki yang tidak pulih sepenuhnya kesan daripada kemalangan jalan raya yang melibatkan saya dan adik lelaki saya,   Ahmad Zahir, pada tahun 1970 dahulu, fikiran untuk menulis tentang kaki ini kembali terbit.  Selain itu, kisah emak yang lumpuh dua kali dan kini hanya dapat melangkahkan kaki kanannya perlahan-lahan sahaja, turut pernah menggoda batin saya untuk menulis cerpen tentang kaki ini. Walau bagaimanapun, lintasan-lintasan fikiran untuk menulis tentang kaki ini kemudiannya susut begitu sahaja.

Namun menjelang tahun 2012 ini, kaki saya sendiri berasa terlalu sakit. Apabila duduk lama, begitu sukar saya hendak bangun dan melangkahkan kaki. Terasa semacam ada beribu-ribu batang jarum peniti sedang menikam-nikam tapak kaki saya.  Sahabat saya, Nawwal dari Universiti Malaysia Kelantan, selalu mentertawakan saya jika saya mengerutkan muka menahan kesakitan ketika mahu bangun setelah duduk sekian lama sewaktu menulis,  menonton televisyen, ataupun melipat pakaian. Katanya, pergi ke kem untuk Pimpin Siswa atau melompat ke sana-sini untuk aktiviti pelajar, tidak pernah merungut sakit. Apabila balik sahaja ke rumah, maka  mulalah sakit macam-macam.

Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan kepada orang lain tentang  betapa sakitnya kaki saya ini. Apabila selalu saya sebut-sebut tentang sakit kaki ini, ramai teman-teman yang mencadangkan supaya saya bertemu dengan orang yang arif tentang sihir. Bagi mereka, mungkin saya telah terkena sihir kerana terasa seperti beribu-ribu jarum peniti sedang menikam-nikam tapak kaki saya ini. Namun, saya cuba berubat sendiri dengan memakan panadol “extend” setiap hari di samping mendapatkan rawatan urut refleksologi. Malangnya, usaha tersebut sedikitpun tidak mengubah rasa sakit yang menikam-nikam tapak kaki saya ini.

Minggu lalu, sewaktu Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) dan Debat Piala Naib Canselor (DPNC) berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan Darul Naim, saya berselawat menahan kesakitan yang tidak terucap. Sewaktu menjadi hakim DPNC pusingan separuh akhir dan pusingan akhir, rasa lenguh dan rasa kesakitan pada tapak kaki begitu mengatam perasaan saya. Lantas, saya suarakan tentang rasa sakit itu kepada Dr. Noreen Nurfaraheen Abdullah, seorang pakar radiologi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), yang juga Penolong Penggawa Desasiswa Murni.

Dr. Noreen, dengan sikap ambil beratnya telah menelefon sahabatnya, pakar orthopedik – Dr. Nawwaz dan membuat temu janji. Selepas pertandingan akhir DPNC selesai, sekitar jam 12.30 tengah hari, kami bergegas ke klinik radiologi untuk x-ray kaki, dan kemudiannya ke klinik orthopedik untuk pemeriksaan doktor. Berada di Bahagian Orthopedik menimbulkan rasa ngilu pada seluruh tubuh saya. Ramai pesakit yang menunggu pemeriksaan doktor dilihat tiada kedua-dua belah kaki akibat penyakit kencing manis; tidak lengkap anggota tubuh badan akibat kemalangan dan pelbagai sebab lagi. Apabila tiba giliran saya untuk diperiksa,saya terasa seperti terlepas segala seksa mata dan jiwa kerana menatap penderitaan orang lain itu.

Sewaktu saya sendiri diperiksa, dari layar kaca komputer, Dr. Nawwaz menunjukkan gambar x-ray yang memperlihatkan betapa tulang baru seperti baji telah tumbuh di hujung tumit pada kedua-dua belah tapak kaki saya. Baji tulang itu kelihatan lebih menonjol pada kaki sebelah kanan berbanding dengan kaki sebelah kiri. Saya diberitahu, penyakit ini boleh berlaku pada orang yang banyak berdiri sewaktu bekerja. Saya teringat, sembilan tahun menjadi guru sekolah; kemudian Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); menjadi tutor dan selanjutnya pensyarah di USM, saya memang banyak berdiri. Kalau mengajar sambil duduk, terasa semacam tidak sempurna menjadi seorang pendidik. Namun saya dinasihatkan oleh doktor yang merawat saya itu supaya memahamkan pelajar bahawa kaki saya sakit dan kini saya perlu duduk sewaktu mengajar.

Kemudian, saya diberi pilihan sama ada mahu dirawat dengan cara  makan ubat ataupun menerima suntikan steroid. Saya memilih supaya disuntik. Saya menahan kesakitan lagi ketika disuntik di tapak kaki dengan steroid. Doktor Nawwaz kemudiannya menulis surat kepada Hospital Pulau Pinang supaya saya diberi rawatan fisioterapi di hospital berkenaan. Saya juga dibekalkan dengan sejumlah ubat yang banyak, cukup hingga tempoh saya perlu datang lagi pada bulan Jun nanti. Paling menyentuh rasa apabila membaca catatan pada sampul ubat yang diberi bahawa ”Sila gunakan ubat dengan berhemat. HUSM membelanjakan lebih RM70 juta setahun untuk beli ubat.”

CELECOXIB

CALCIUM LACTATE

ALFACALCIDOL

Saya turut dinasihati Dr. Nawwaz supaya memakai pelapik kasut yang boleh menahan kaki saya dari rasa tertusuk. Saya percaya kesakitan pada kaki  yang saya tanggung ini akan pulih juga nanti seperti catatan hadis Rasulullah SAW yang  tercatat pada sampul ubat itu bahawa “Tiada penyakit yang Allah jadikan yang tiada ubatnya (hadis riwayat Abu Hurairah r.a.). Kini, saya mengerti akan harga sepasang kaki. Mungkin suatu hari nanti, idea tentang kaki ini yang telah menebal di kotak naluri saya dapat dipindahkan menjadi sebuah cerpen. InsyaAllah!

EMPAT PERKARA YANG PERLU DIINGAT SETIAP HARI


Empat perkara yang perlu diingat dalam melalui kehidupan sehari-hari, iaitu:

(1) Empat perkara menguatkan badan
1. Makan daging
2. Memakai haruman
3. Kerap mandi
4. Memakai pakaian dari kain kapas

(2) Empat perkara melemahkan badan
1. Banyak berkelamin (bersetubuh)
2. Selalu berasa cemas
3. Banyak minum air ketika makan
4. Banyak makan makanan yang masam rasanya

(3) Empat perkara menajamkan mata.
1. Duduk mengadap kiblat
2. Bercelak sebelum tidur
3. Memandang yang hijau
4. Berpakaian bersih

(4) Empat perkara merosakkan mata.
1. Memandang najis
2. Melihat orang dibunuh
3. Melihat kemaluan
4. Membelakangi kiblat

(5) Empat perkara menajamkan akal fikiran.
1. Tidak banyak berbual kosong
2. Rajin bersugi (gosok gigi)
3. Bercakap dengan orang soleh
4. Bergaul dengan para ulama

(6) Empat cara tidur sebagai perbandingan.

(a) Tidur para nabi
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.

(b) Tidur para ulama’ dan ahli ibadah
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.

(c) Tidur para raja yang haloba
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.

(c) Tidur cara syaitan
Menelungkup/ meniarap seperti tidurnya ahli neraka.

Sumber: Dari buku “Penyucian Jiwa”

Tips Menguruskan Badan Ikut Jenis Darah (Tanpa Menggunakan Ubat)


Dr. Adamo mencadangkan beberapa menu makanan  yang sesuai dimakan dan latihan olah tubuh yang sesuai untuk menguruskan badan. Antaranya:

(1) Ciri khas golongan darah O:

Memiliki sistem imunisasi tubuh yang lebih tinggi berbanding golongan darah jenis lain
Mudah mengadaptasi berbagai makanan
Untuk mengatasi tekanan, disarankan melakukan aerobik
Dianjurkan untuk mengambil makanan berprotein tinggi dan rendah karbohidrat, seperti daging, buah-buahan, ikan, sayuran
Berisiko terkena radang dan kerosakan organ seperti arthritis jika makanan yang diambil tidak bersesuaian

Menu diet yang dianjurkan untuk kumpulan darah O:

Sarapan : Dua potong roti bakar lapis mentega dan sebiji pisang
Snek : Teh herba
Makan tengahari: Sepotong daging panggang, salad bayam dan epal
Snek : Sepotong kuih
Makan Malam : Sepotong daging lembu dan asparagus yang direbus, kentang rebus, buah-buahan dan teh herba

(2) Ciri khasgolongan  darah A:

• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Perlu menghindari makanan yang daripada produk susu dan daging
• Dianjurkan menjadi vegetarian atau mengambil makanan berkadar karbohidrat tinggi, namun rendah lemak
• Mengurangkan stres dengan bermeditasi, atau berolahraga
• Cukup beristirehat

Menu diet yang dianjurkan utk darah jenis A:

Sarapan : Air putih dicampur jus limau nipis dan oat
Snek: Jus anggur / kopi
Makan Tengah Hari: Salad dan roti gandum satu potong serta teh herba
Snek: Kuih beras dua potong dan teh hijau
Makan Malam : Pasta tanpa daging campur brokoli, yoghurt dan teh herba

Tips Diet Ikut Jenis Darah Bagi Kurus Langsing Cantik : DARAH JENIS B

Ciri khas golongan darah B:

• Dianjurkan untuk melakukan diet dengan berbagai-bagai variasi makanan, namun perlu menghadkan pengambilan daging.
• Disarankan mengambil makanan dan minuman berasaskan susu untuk meningkatkan sistem imunisasi badan.
• Olahraga yang sesuai dilakukan adalah berenang, bermain tenis, berjalan kaki dan bermeditasi.
• Untuk mengatasi stres, disarankan memiliki hobi dan aktiviti berasaskan kreativiti.

Pemilik golongan darah B sangat mudah terhadap penyakit berkaitan imunisasi dan serangan virus, mereka disarankan agar mengambil sayuran hijau yang kaya magnesium dalam kuantiti yang banyak.
Makanan yang dianjurkan adalah daging lembu, kambing kibas, arnab, ikan laut, semua produk susu kecuali ‘blue chesse’ dan aiskrim, telur ayam organik dan ayam kampung, minyak zaitun, beras merah, beras putih, makanan berasaskan beras dan buah-buahan.

Manakala makanan yang perlu dikurangkan pengambilannya adalah ayam, ketam, udang, kerang-kerangan, telur puyuh, telur itik, minyak bijan, minyak jagung, minyak biji matahari, minyak kacang tanah, minyak soya, kelapa, santan, soya, kacang tanah, biji bunga matahari, biji labu, bijan, kacang pistacio, tempe, tauhu, kacang merah, makanan berasaskan gandum, mi segera, beras pulut, jagung, lobak, tomato dan jagung.

Menu diet yang dianjurkan utk darah jenis B:

Sarapan: Bijirin dan buah pisang beserta segelas susu tanpa lemak
Snek: Jus anggur
Makan Tengahari: Sepotong dada ayam dan dua potong roti beserta salad dan teh herba
Snek: Jus limau/yogurt dan teh herba
Makan Malam : Sepotong ikan salai, sayur rebus, buah-buahan segar dan teh herba

Tips Diet Ikut Jenis Darah Bagi Kurus Langsing Cantik : DARAH JENIS AB

Ciri khas individu jenis darah AB:

• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Disarankan untuk mengambil makanan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap
• Untuk lebih bertenaga olahraga pada setiap pagi digalakkan

Menu diet yang dianjurkan utk darah jenis AB:

Sarapan : Air limau nipis, jus anggur, roti dua potong beserta satu potong keju
Snek : Yogurt
Makan Tengahari : Dada ayam empat hirisan, salad, dua biji buah plum dan teh herba
Snek: Kek keju dan teh herba
Makan Malam : Omelet dan salad buah serta kopi

Sumber: Informasi ini dikutip daripada http://tipskurusbadan.blogspot.com

Peperiksaan Semester 1 – Sidang Akademik 2011/ 2012 berakhir!


Hari ini, 20 Januari 2012, peperiksaan Semester 1 bagi Sidang Akademik 2011/ 2012 berakhir sudah. Skrip jawapan pelajar dah penuh kotak untuk diperiksa.. Ermmm.. masa begitu ligat berputar hinggakan Semester 1 senyap-senyap telah tanggal dari kalendarnya.
Terasa sekali bahawa banyak yang masih belum diselesaikan, khususnya janji penyuntingan buku, geran dan menulis buku dengan orang.. Azam tahun 2012 ini adalah menyempurnakan semua amanah orang untuk menulis… InsyaAllah, moga Allah SWT akan kabulkan.
Esok, akan mula mengadap skrip jawapan pelajar. Harap akan dapat menyudahkan pemeriksaannya ikut jadual. Awal Februari, Mesyuarat Majlis Pemeriksa akan bersidang!

Vitamin Minda Adi-Q: Cubalah….


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Terima  kasih kerana  sudi singgah ke blog saya ini. Sayai ngin berkongsi satu  cerita yang sangat menarik perhatian saya. Memandangkan tahun 2008 akan  berakhir, maka saya sifatkan cerita ini antara yang menarik dalam diari  tahun 2008 saya. Saya mulakan  dulu dengan cerita Adi Putra, kanak-kanak genius yang begitu  dibanggakan.  Apabila media hangat menyiarkan berita Adi menjadi pelajar  di Universiti Industri Selangor (UNISEL) dalam bidang matematik, iaitu  bidang yang mengangkatnya sehingga digelar kanak-kanak genius, rakyat  Malaysia bangkit memberi pandangan positif dan negatif. Ada juga yang  mempertikaikan kepintaran Adi.  Saya juga turut  berfikir wujudkah  kesebatian dalam diri Adi terhadap mata pelajaran lain sekiranya hanya  subjek Matematik yang diberi perhatian oleh pelbagai pihak untuk  dirinya. Maklumlah, kita ini manusia yang suka sangat nak fikir pasal  orang. Namun, kita sebenarnya perlu senantiasa berfikir dan memberi  pandangan untuk mewujudkan suatu organisasi sosial yang baik.
Kerika  rakyat Malaysia heboh-heboh  perihal Adi Putra, saya pula tertarik  dengan satu kisah benar tentang Adi Putra. Kisahnya begini . Suatu hari  saya pergi ke rumah bapa saudara saya bersama anak perempuan saya. Nak  dijadikan cerita, anak perempuan saya ini kalau dengar sahaja cerita  tentang Adi Putra, hatinya terbakar. Katanya, “Adi ni kecil lagi, mana  boleh masuk Universiti. Kesian dia kerana tidak dapat melalui kehidupan  zaman kanak-kanaknya seperti Sophia yang dihantar kerajaan Malaysia ke  University Oxford itu. Apa jadi kepada Sophia akhirnya?”
Namun,  ketika  sampai sahaja di rumah bapa saudara saya, sepupu saya Asmahan,  bercerita  kepada saya kisah anak keduanya Aiman. Sekarang Aiman  dalam Darjah 6 dan akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi.  Sejak dari Darjah 1 hingga Darjah 5, Aiman belajar dalam kelas paling  belakang [ikut gred kelas] dan akan mendapat nombor antara enam orang  yang paling terkebelakang.
Suatu  hari, Aiman mengajak emaknya [sepupu saya ini], ke Sekolah Menengah  Kebangsaan Seri, Balik Pulau, Pulau Pinang kerana Adi Putra [8 tahun],  kanak-kanak pintar Malaysia akan datang ke sekolah tersebut yang telah  dipilihnya untuk dijadikan sekolah angkat pertamanya bagi mengembangkan  formula matematik ciptaannya. Asmahan pergi bersama anaknya itu dan di  situ dia menyaksikan sendiri kehebatan dan kepintaranAdi Putra. Di situ  juga dia melihat di sebuah meja, ada orang menjual makanan tambahan  formula Adi Putra sendiri. Harganya RM36.00 ringgit untuk satu kotak  berisi dua botol makanan tambahan tersebut [dalam bentuk pil  sebenarnya].S atu botol untuk otak kanan [HOKA] dan satu botol untuk  otak kiri [HOKI]. Lihat gambar kotak makanan tambahan ini di bawah.
Dipendekkan  cerita, Asmahan tidak membawa wang ketika itu kerana dia ke tempat itu  hanya bertujuan menghantar Aiman yang teringin sangat hendak menyaksikan  keupayaan luar biasa Adi Putra. Namun, dia terpengaruh juga dengan  makanan tambahan yang diperagakan itu [kerana Adi Putra pandai sangat],  lantas mengambil  nombor telefon sipenjualnya.
Sebulan  kemudian,anak sulungnya yang cemerlang dalam pelajaran dan sedang  belajar dalam Tingkatan 3 di sebuah sekolah berasrama penuh di Putrajaya  pulang. Anak sulungnya ini sering mengadu letih sebab kelas tambahan  yang dianjurkan oleh sekolahnya terlalu padat kerana dia bakal menduduki  peperiksaan PMR. Dia minta emaknya membelikan apa-apa supplement untuk  otaknya. Mungkin sebab kasih akan anaknya yang pintar ini, Asmahan  teringat akan nombor telefon sipenjual makanantambahan yang  diformulasikan oleh Adi Putra itu.
Dipendekkan  cerita, Asmahan pun membeli makanan tambahan tersebut. Selepas sebulan  memberia nak-anaknya [5 orang lelaki semuanya - macam Hang Tuah 5  bersaudara] makan, Aiman yang dulunya ketinggalan dalam pelajaran,  menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan dan meraih keputusan  yang mengejutkan guru-gurunya. Dia kini menjadi antara lima pelajar  terbaik Darjah 6 di sekolahnya. Adiknya pula yang baru berusia 5 tahun,  sudah boleh membaca dan menghafal sifir.
Justeru  mendengar cerita Asmahan dan menguji kebolehan anak-anaknya itu  sedikit-sebanyak, saya membelilah sekotak makanan tambahan tersebut  untuk anak saya [orang dewasa pun boleh makan. Anak saya menunjukkan  signal tidak puas hati] yang selalu migrain. Sepanjang perjalanan  pulang, letih jugalah mendengar anak saya mengomel kerana katanya  kepandaian seseorang  itu bergantung kepada kerajinan, dan migrain itu  boleh diubati dengan ubat doktor. Namun, saya diamkan saja dan menyuruh  anak saya mencuba. Alhamdulillah, migrainnya cepat pulih dan kini  jarang-jarang menyerang. Saya juga mencubanya untuk menguji kebenaran  cerita Asmahan. Saya rasa lebih fokus. Mungkin inilah sebabnya  kanak-kanak itu menjadi lebih baik prestasi akademiknya. Kalau nak tahu  lebih lanjut tentang makanan tambahan ini, bolehlah layari sendiri laman  web AdiPutra di http://adigenius.com/. Banyak maklumat lanjut yang boleh dibaca daripada laman web ini.
Kalau  mahu membeli makanan tambahan ini, sebab harganya berpatutan dan boleh  dicuba / diuji dahulu kebenarannya, bolehlah pesan dari saya sebab  Asmahan meninggalkan banyak juga makanan tambahan ini di tempat saya.  Asmahan kini menjadi dealernya kerana yakin dengan makanan  tambahan formulasi Adi Putra ini yang  telah mengubah pencapaian  akademik anak-anaknya [atas izin Allah jua], dan kerana mahu membelinya  dengan harga yang lebih murah.
Saya  bukan penjual atau pengiklan. Akan tetapi sekadar mahu berkongsi  pandangan  akan kebaikan daripada cerita ini dengan  sesiapa sahaja   yang mungkin mahu mencubanya pula untuk diri sendiri, atau untuk anak  masing-masing. Insyaallah, tiada ruginya mencuba. Saya catatkan semua  nama dan kisah benar mereka, kerana Asmahan bersedia untuk menceritakan  pengalamannya bersama-sama dengan Adi Putra sendiri, jika dijemput.
[Ini adalah catatan lama semasa mula-mula belajar mencipta blog dahulu... Sengaja disimpan sebagai kenangan tentang rentetan catatan dalam blog]

Kisah AdiQ


Assalamualaikum..

Baru-baru  ini sepupu saya, Asmahan (yang memperkenalkan makanan tambahan yang  diformulasikan Adi Putra) berkongsi kegembiraannya bersama saya. Aiman  yang menjadi pengguna setia AdiQ telah berjaya mendapat keputusan 5A  dalam peperiksaan UPSR. Kata Aiman, sejak menggunakan AdiQ, pelajaran  lebih mudah difahami dan menjadi lebih fokus serta rajin belajar.  Alhamdulillah… Harap Aiman lebih sukses dalam pelajaran dan hidupnya,  begitu juga kepada semua anak-anak yang baru sahaja menduduki UPSR, PMR,  SPM dan STPM.
Sebenarnya  ramailah juga yang tanya saya, boleh percaya ke produk yang  diformulasikan Adi Putra ini. Ada juga yang kata, “Ramai aje yang dapat  5A tak makan pun AdiQ..Semuanya usaha dan kepintaran”.Saya tak nafikan  usaha adalah segala-galanya. Kalau makan AdiQ berkotak-kotak pun, tak  nak baca buku memanglah tak berkesan. Tapi cuba kita fikirkan kejap,  kita rajin baca buku. Cuma, bila membaca asyik teringat benda lain. Ada  juga yang sikapnya, tengah baca buku tiba-tiba dengar lagu best,  terus fikirannya melayang sampai apa yang dibaca terkeluar balik  daripada mindanya. Ada pula yang memang boleh jawab soalan dan pandai  tapi sebenarnya atas paksaan hingga terkeluar dari batasan kemampuan  sampai letih dan kemahiran akan hanya tertumpu dalam akademik tanpa ada  keseimbangan dalam bidang lain yang mampu menjadikan seseorang itu  unggul dalam sesuatu bidang. Jadi, bagaimana cara untuk mengubatinya?
Doa..Doa..Doa.. Sebenarnya itu yang paling mujarab, diikuti usaha.  Pertama sekali usaha untuk berubah. Seterusnya tidak salah jika kita  mencuba sesuatu yang mungkin dapat membantu kita dalam usaha untuk  berubah. Jadi, kalau makanan tambahan yang diformulasikan Adi Putra ini  sudah dikatakan berkesan, tidak salah untuk mencuba. Cuma terpulang  kepada individu itu sendiri untuk mencuba atau tidak. Memang ramai yang  dapat 5A tak makan pun makanan tambahan AdiQ. Tapi ini cerita tentang  orang-orang yang tidak fokus, letih belajar, migrain dan pelbagai lagi  yang mengaku berubah bila mencuba..(hehehe).. Jadi, tepuk dada tanyalah  selera..
Tentang  Aiman dan adik-adiknya pula. Bila orang datang rumah, merekalah yang  sibuk mempromosi makanan tambahan AdiQ ini. lawak pun ada juga tengok  anak-anak kecil ini beriya-iya promote AdiQ. Semoga Adi Putra dan anak-anak ini terus berjaya dalam hidup..Amin..

JANJI BUAT KEKASIH


Burung malam membawa kekasihku pergi

tatkala gerimis berjatuhan

merembesi pipi
titisnya lebih terasa lebat di dada
membanjir kolam rasa.
Saat kakinya melangkah
sepohon cinta dia titipkan
katanya:
“Bajai pohon cinta kita
           moga darinya berkembangan bunga-bunga
           menyeri maya pada.”
Kekasihku,
pohon cinta kita
boleh kubaja
tapi aku ragu
kiranya kuntum tulip biru
dan putih warna salju
yang bakal kau temu
mengikis rindumu pada semerbak bau cempaka
melur dan kemboja
di desa kita.
Dan lagi kekasihku,
Kota Paris saat ini masih dingin
wangi mawar
liuk tulip biru
puputan semilir
langit senja yang kermizi
pasti menebar malam syahdu
yang bisa merungkai rindumu
pada denai becak, ikan belacak dan kuning padi
di tanah air sendiri.
Sedang di sini kekasihku,
desa kita berwajah suram
panas menguliti kulit
angin berjerebu
denai berdebu
lembayung ungu
pohon-pohon layu.
Kekasihku,
mungkinkah nanti
pohon cinta kita mati
di bawah langit sesuram ini?
Tapi,
demi titipan kata
pasti aku cuba
menyiram dan membajanya
biarpun kelak hidupnya
tidak menguntumkan kelopak-kelopak bunga
pesanmu telah kulaksana
hanya itu yang terdaya
dalam harap pada Yang Kuasa.
DBP, 28 Mei 1997.
Dewan Budaya.