KISAH SEORANG SAHABAT

Semalam (21 Mac 2012), saya ke klinik swasta di Bayan Baru kerana sudah dua malam saya  demam pada waktu malam dan berasa amat sakit pada kedua-dua belah bahu. Meskipun boleh mendapat rawatan percuma di Pusat Sejahtera USM, ataupun di klinik panel USM, saya memilih untuk ke klinik swasta kerana saya mahu cepat. Kalau ke Pusat Sejahtera atau ke klinik panel, biasanya orang terlalu ramai. Lagi pun, saya juga mahu ke Bank Islam dan Bank Rakyat yang juga terletak di Bayan Baru.

Ketika di klinik, tanpa disangka-sangka saya bertemu dengan Salhah (bukan nama sebenar), sahabat saya ketika mengikuti ijazah pertama pada tahun-tahun awal 90-an di USM dahulu. Usia Salhah kini awal 40-an. Dia beberapa tahun lebih muda daripada usia saya kerana  Salhah memasuki USM selepas menamatkan persekolahan tingkatan enamnya, sedangkan  saya pula sesudah beberapa tahun menjadi guru sekolah di Alor Setar dan di Bentong, Pahang Darul Makmur. Salhah kelihatan masih muda dan cantik, tetapi tubuhnya kurus dan matanya seperti membendung duka. Dari kami berbisik-bisik bercerita di dalam klinik, saya dan Salhah kemudiannya memilih untuk menyambung bicara di Restoran Nasi Ayam Besar di Bayan Baru itu. Di situ, saya merisik tanya, kenapa matanya seperti membendung duka.

Salhah bercerita bahawa dia sekarang dalam kes  mahkamah. Saya tanya kenapa? Katanya, kes berebut anak selepas bercerai dengan suaminya.  Aduhai, kasihan Salhah! Kebetulan media massa sedang riuh  menguar-uarkan kisah seorang artis yang berjaya mendapatkan hak penjagaan anaknya di mahkamah. Justeru saya katakan kepadanya, jangan risau kerana kini anak-anak diberi peluang oleh mahkamah untuk memilih sendiri dengan siapakah mereka mahu tinggal. Wajah Salhah semacam lebih ceria setelah mendengar contoh yang saya berikan itu.

Saya dan Salhah terus rancak bercerita walaupun nasi ayam yang kami makan telah habis licin dan air yang kami minum pun tinggal sedikit sahaja lagi di dalam gelas. Saya paling tertarik mendengar cerita Salhah bahawa dia kini bertemu kembali dengan Naim (juga bukan nama sebenar), kawan sekuliah kami dahulu yang menaruh hati kepada Salhah. Kini, pada saat hidup sendirian dan dalam masalah berebut anak-anak dengan bekas suaminya di mahkamah, Salhah berasa bersedia untuk menjadi isteri Naim. Dia berasa perlu akan seseorang untuk menjadi tempat menuturkan dukanya.  Namun keadaan sudah tidak semudah seperti waktu masih belajar di universiti dahulu. Pada ketika itu dia masih gadis dan Naim pun masih bujang lagi.

Kini dia ibu tunggal beranak empat dan Naim pula suami orang.  Naim memang mahu mengambil dia sebagai isteri. Agama Islam pun tidak menegah Naim untuk berbuat demikian. Namun Salhah masih berfikir panjang tentang bagaimana penerimaan isteri Naim dan anak-anaknya yang seramai tiga orang itu kelak terhadap dirinya. Kepala otaknya sudah sekian lama  tepu dengan pelbagai masalah rumah tangga yang tidak putus-putus merundung kehidupannya. Dia berasa sudah letih. Apatah lagi kata Salhah, sejak berkawan kembali dengan Naim, sudah banyak kali dia mendengar cakap-cakap orang  yang tahu tentang hubungannya dengan Naim itu  bahawa dia  perampas suami orang.

Saya hanya mampu berkata kepada Salhah, bersabarlah dan berserahlah segalanya kepada Allah SWT. Mulut manusia memang macam-macam, justeru diperbuatkan Allah  syurga dan neraka. Saya juga berkata kepadanya bahawa jodoh pertemuan itu hak Allah SWT. Manusia yang mengutuk mencaci orang itu ibarat telah menyeluk hak Allah SWT. Telah Allah ajarkan kepada hamba-Nya bahawa ajal maut, jodoh pertemuan, rezeki, semuanya hak mutlak Ilahi Rabbi! Manusia tiada hak untuk memandai-mandai.

Pertemuan kami berakhir sekitar pukul 3.00 petang. Masing-masing kami meminta diri untuk pulang kerana waktu solat Zohor telah menjadi semakin tua. Dalam diri saya dan perjalanan hidup saya hari ini terpahat satu lagi kisah, iaitu kisah hidup seorang sahabat lama!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s