HARGA SEPASANG KAKI

Pernah suatu masa dahulu, di dalam kelas Penulisan Kreatif, pensyarah saya iaitu Profesor Emeritus Dato’ Haji Shahnon Ahmad  memberi idea kreatif dan mencadangkan supaya ada yang mahu menulis cerpen tentang harga sepasang kaki.

Saya rasa ketika itu tiada seorang pun pelajar yang menyahut idea untuk menghasilkan sebuah cerpen tentang sepasang kaki itu. Macam manalah mahu menulisnya kerana rata-rata pelajar pada masa itu masih muda dan masih belum dapat mengerti akan kepentingan sepasang kaki. Memang semua orang tahu bahawa kaki amat penting kerana kakilah yang membawa mereka ke sana ke mari. Tergerak sahaja di hati mahu ke pasar raya, kakilah yang akan membawa badan ke sana. Mahu pergi bekerja, mahu pergi kuliah, bergegas ke kelas tutorial, mencari makanan dan minuman, semua pergerakan itu terjadi atas bantuan kaki. Maknanya kaki begitu bererti. Namun rasa atau keinginan untuk menulis tentang kaki tetap tidak timbul.

 Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, persoalan kaki ini terus melekat dalam hati dan terbenam jauh  di sudut naluri yang paling dalam. Apabila ayah pergi buat selama-lamanya pada tahun 2005 dengan kaki yang tidak pulih sepenuhnya kesan daripada kemalangan jalan raya yang melibatkan saya dan adik lelaki saya,   Ahmad Zahir, pada tahun 1970 dahulu, fikiran untuk menulis tentang kaki ini kembali terbit.  Selain itu, kisah emak yang lumpuh dua kali dan kini hanya dapat melangkahkan kaki kanannya perlahan-lahan sahaja, turut pernah menggoda batin saya untuk menulis cerpen tentang kaki ini. Walau bagaimanapun, lintasan-lintasan fikiran untuk menulis tentang kaki ini kemudiannya susut begitu sahaja.

Namun menjelang tahun 2012 ini, kaki saya sendiri berasa terlalu sakit. Apabila duduk lama, begitu sukar saya hendak bangun dan melangkahkan kaki. Terasa semacam ada beribu-ribu batang jarum peniti sedang menikam-nikam tapak kaki saya.  Sahabat saya, Nawwal dari Universiti Malaysia Kelantan, selalu mentertawakan saya jika saya mengerutkan muka menahan kesakitan ketika mahu bangun setelah duduk sekian lama sewaktu menulis,  menonton televisyen, ataupun melipat pakaian. Katanya, pergi ke kem untuk Pimpin Siswa atau melompat ke sana-sini untuk aktiviti pelajar, tidak pernah merungut sakit. Apabila balik sahaja ke rumah, maka  mulalah sakit macam-macam.

Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan kepada orang lain tentang  betapa sakitnya kaki saya ini. Apabila selalu saya sebut-sebut tentang sakit kaki ini, ramai teman-teman yang mencadangkan supaya saya bertemu dengan orang yang arif tentang sihir. Bagi mereka, mungkin saya telah terkena sihir kerana terasa seperti beribu-ribu jarum peniti sedang menikam-nikam tapak kaki saya ini. Namun, saya cuba berubat sendiri dengan memakan panadol “extend” setiap hari di samping mendapatkan rawatan urut refleksologi. Malangnya, usaha tersebut sedikitpun tidak mengubah rasa sakit yang menikam-nikam tapak kaki saya ini.

Minggu lalu, sewaktu Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) dan Debat Piala Naib Canselor (DPNC) berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan Darul Naim, saya berselawat menahan kesakitan yang tidak terucap. Sewaktu menjadi hakim DPNC pusingan separuh akhir dan pusingan akhir, rasa lenguh dan rasa kesakitan pada tapak kaki begitu mengatam perasaan saya. Lantas, saya suarakan tentang rasa sakit itu kepada Dr. Noreen Nurfaraheen Abdullah, seorang pakar radiologi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), yang juga Penolong Penggawa Desasiswa Murni.

Dr. Noreen, dengan sikap ambil beratnya telah menelefon sahabatnya, pakar orthopedik – Dr. Nawwaz dan membuat temu janji. Selepas pertandingan akhir DPNC selesai, sekitar jam 12.30 tengah hari, kami bergegas ke klinik radiologi untuk x-ray kaki, dan kemudiannya ke klinik orthopedik untuk pemeriksaan doktor. Berada di Bahagian Orthopedik menimbulkan rasa ngilu pada seluruh tubuh saya. Ramai pesakit yang menunggu pemeriksaan doktor dilihat tiada kedua-dua belah kaki akibat penyakit kencing manis; tidak lengkap anggota tubuh badan akibat kemalangan dan pelbagai sebab lagi. Apabila tiba giliran saya untuk diperiksa,saya terasa seperti terlepas segala seksa mata dan jiwa kerana menatap penderitaan orang lain itu.

Sewaktu saya sendiri diperiksa, dari layar kaca komputer, Dr. Nawwaz menunjukkan gambar x-ray yang memperlihatkan betapa tulang baru seperti baji telah tumbuh di hujung tumit pada kedua-dua belah tapak kaki saya. Baji tulang itu kelihatan lebih menonjol pada kaki sebelah kanan berbanding dengan kaki sebelah kiri. Saya diberitahu, penyakit ini boleh berlaku pada orang yang banyak berdiri sewaktu bekerja. Saya teringat, sembilan tahun menjadi guru sekolah; kemudian Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); menjadi tutor dan selanjutnya pensyarah di USM, saya memang banyak berdiri. Kalau mengajar sambil duduk, terasa semacam tidak sempurna menjadi seorang pendidik. Namun saya dinasihatkan oleh doktor yang merawat saya itu supaya memahamkan pelajar bahawa kaki saya sakit dan kini saya perlu duduk sewaktu mengajar.

Kemudian, saya diberi pilihan sama ada mahu dirawat dengan cara  makan ubat ataupun menerima suntikan steroid. Saya memilih supaya disuntik. Saya menahan kesakitan lagi ketika disuntik di tapak kaki dengan steroid. Doktor Nawwaz kemudiannya menulis surat kepada Hospital Pulau Pinang supaya saya diberi rawatan fisioterapi di hospital berkenaan. Saya juga dibekalkan dengan sejumlah ubat yang banyak, cukup hingga tempoh saya perlu datang lagi pada bulan Jun nanti. Paling menyentuh rasa apabila membaca catatan pada sampul ubat yang diberi bahawa “Sila gunakan ubat dengan berhemat. HUSM membelanjakan lebih RM70 juta setahun untuk beli ubat.”

CELECOXIB

CALCIUM LACTATE

ALFACALCIDOL

Saya turut dinasihati Dr. Nawwaz supaya memakai pelapik kasut yang boleh menahan kaki saya dari rasa tertusuk. Saya percaya kesakitan pada kaki  yang saya tanggung ini akan pulih juga nanti seperti catatan hadis Rasulullah SAW yang  tercatat pada sampul ubat itu bahawa “Tiada penyakit yang Allah jadikan yang tiada ubatnya (hadis riwayat Abu Hurairah r.a.). Kini, saya mengerti akan harga sepasang kaki. Mungkin suatu hari nanti, idea tentang kaki ini yang telah menebal di kotak naluri saya dapat dipindahkan menjadi sebuah cerpen. InsyaAllah!

Leave a comment