HADIAH PUISI DARI SAHABAT PENYAIR

Saya ada menulis tentang baik buruknya facebook sebelum ini.  Justeru ingin dicoretkan bahawa melalui face book juga saya dapat bertemu dengan ramai rakan penulis melalui talian tanpa wayar dan tanpa sempadan ini. Sesetengah karya  mereka berupa cerpen, skrip drama, cerpen atau puisi, saya gunakan untuk mengajar di dalam kelas Kesusasteraan di Universiti Sains Malaysia dan juga di Goethe-University of Frankfurt,  di Germany ini. Semasa berada di Frankfurt ini, banyak juga gambar yang saya muat turun ke dalam face book saya. Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau mempamerkan diri, akan tetapi untuk merekodkan sebahagian kenangan yang dilalui di sini.

Tanpa saya duga, beberapa keping gambar yang saya muat turun itu telah mendatangkan ilham kepada sahabat penyair saya. Wah, saya bukanlah sesiapa dan tiada sebarang keistimewaan juga. Namun, apabila gambar saya mampu membenihkan ilham pada jiwa penyair, saya berasa amat bersyukur ke hadrat Allah SWT. Itukan kehendak Allah, pemberi ilham Yang Maha Hebat! Mudah-mudahan mereka rajin berkarya dan dapat melahirkan lebih banyak lagi karya yang bermutu dan hebat – tetapi bukanlah  kerana gambar-gambar yang dimuatturunkan ke dalam face book saya itu.
Dalam kajian saya tentang “Penulis dan Ilham” yang banyak saya muatkan dalam majalah Dewan Sastera dahulu, ditemui bahawa sebenarnya ada banyak punca yang menyebabkan seseorang penulis itu mendapat ilham. Jiwa dan deria rasa penulis yang peka akan menancap sesuatu yang biasa sahaja pada pandangan orang ramai dengan suatu perasaan yang begitu  halus dan  dengan pandangan   yang berbeza. Justeru, mereka mampu mengukir kata-kata indah daripada sesuatu yang ditancap oleh deria mereka. Walaupun tanpa menyebut nama penyair yang menghadiahkan puisi kepada saya setelah melihat gambar-gambar saya di dalam face book itu, saya ingin paparkan tiga buah puisi dengan gambar yang mengilhamkan mereka. Hal ini bertujuan menghargai ilham dan bakat penulisan yang dianugerahi Ilahi kepada  mereka.
 
 
Keratan gambar mata ini, telah mengilhamkan seorang sahabat penyair, lalu ditulisnya untuk saya sajak di bawah:
 
MATANYA
 
Meskipun pohon-pohon rasa
telah lama lenyap dari jiwanya
namun tatap matanya
ku pandang indah
dalam bebola matanya
yang hampa.
 
Matanya
pada yang memahami
makna renungannya
lembut, tapi
tajam menikam!
 
 
11 Oktober 2010
 
 
Sememangnya penyair memiliki deria rasa yang pelik kerana keratan mata seperti itupun mampu mengilhamkan dirinya untuk menyusun kata-kata yang baik. Lebih hairan lagi, dengan melihat renung mata seseorang sahaja, penyair cuba membaca sesuatu yang tersimpan dalam lipatan hati orang yang dilihatnya itu.
 
 
 
Kemudian, seorang lagi sahabat penyair prolifik dan terkenal dengan gaya penulisannya yang tersendiri, turut menghadiahkan saya puisinya yang terilham daripada gambar berikut:
 
   Sungai Main – Wajah Pengenalan Kota Frankfurt
 
DI LANGIT FRANKFURT
KUTATAP foto yang kauemailkan
Langitnya berkabut dan kelabu
berbaur cahaya dan warna
secercah biru dan hitam
yang sedikit memudar
di palang besi tepian sungai Main
yang seakan kehilangan kilaunya
kau bersandar dengan jaket tebal d
an senyum yang tertahan
 
Aku memang tiada di sisi
Untuk menatap deret bangunan
yang agam dan megah di seberang
Seperti gelisah yang ingin terbang
menggapai di langit
Tetapi tidak berani
hendak kuucapkan.
Oktober 22, 2010
Sebuah lagi sajaknya yang begitu menarik, saya tidak pasti terilham daripada gambar yang mana satu. Namun, melalui pembacaan, saya hanya dapat meneka bahawa sajaknya di bawah terilham daripada gambar ini:

DI BAWAH SALJU
Salji yang merembes di permukaan tanah
Memerhati kau yang berdiri
Di antara dua jalan di taman itu
Dengan tudung dan baju tebal
Diiring bayang daun yang memutih
Dan deretan pohon yang kelihatan menghitam
Memang di tanah asing ini
Kau memilih bersendiri
Menahan terpaan dingin angin
Walau di bawah salju ini semakin segalanya mengabur
Di ruang ingatan yang berbalam
Namun tidak luntur tekadmu
Memelihara cinta
Yang selalu kaupercayai
Dengan hati murni
Seorang wanita yang sudah bosan
Menjadi pelari.
Frankfurt
Disember 19, 2010
Pagi semalam  (pukul 3.00 pagi) di Malaysia (22 Februari 2011) misalnya, ketika jam di dinding Guesthouse Nombor 1, Frauenlobtrasse, Geothe-University of Frankfurt,  Germany ini baru menunjukkan pukul 8.00 malam, sahabat penyair saya yang baik hati ini sempat menuturkan sepotong  puisi spontannya dalam facebook kepada saya yang berbunyi:
Mataku tidak digayuti kantuk 
kenang dan ingat jadi meliar!
Meskipun saya seorang pensyarah bagi kursus HKN 208: Puisi Melayu dan Indonesia Moden, saya tidak berhasrat untuk mengupas maksud  sajak mereka. Saya juga tidak bertujuan untuk menganalisis struktur ataupun maksud sajak mereka.  Akan tetapi, memadailah kalau saya  ujarkan  bahawa saya amat menghargai karya dan bakat mereka. Justeru seikhlasnya, saya paparkan karya mereka di dalam blog saya ini.  Paling menarik, mereka sebagai penyair, cuba membaca jiwa seseorang melalui sudut pandang masing-masing, meskipun apa yang terungkap dalam larik-larik diksi mereka itu tidak semestinya tepat tentang diri saya.
Walau bagaimanapun, buat sahabat-sahabat penyair  saya yang baik hati dan saya hargai ini, ingin saya menyatakan secara terus-terang bahawa saya amat bahagia kini dan menghargai kehidupan  yang Allah SWT kurniakan kepada saya.  Saya telah temui apa yang saya dambakan dalam hidup saya. Lebih dari itu,  saya juga begitu bersyukur  kepada Ilahi kerana telah mengembalikan keindahan dan kebahagiaan hidup sewaktu zaman remaja saya, khususnya ketika masih di alam persekolahan di SMTK  dahulu, pada saat usia saya sudah pun di tabir senja ini.
Akhirnya, sekali lagi  terima kasih dituturkan buat sahabat-sahabat penyair  saya kerana sajak-sajak mereka  yang begitu indah ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s