CUACA DAN EMOSI

Kebelakangan ini, saya mudah berasa  terharu, gundah-gulana, hiba, pilu, sebak, sayu atau boleh sahaja disebut  dengan lain-lain perkataan, tetapi membawa erti yang sama dengan rasa sedih. Sambil berjalan pulang dari kampus ke  rumah ataupun dari rumah ke kampus, air mata saya boleh menitis hanya kerana melihat pohon-pohon tanpa daun, ataupun melihat sehelai daun kuning melayang-layang jatuh menyembah bumi apabila di tiup bayu semilir dalam musim luruh ini. Jika suasana alam menjadi kelam kerana diliputi kabut, atau kerana matahari tidak memencarkan  sinarnya, atau kerana muka bumi  baru disirami hujan, atau kerana hari sedang merangkak menuju senja, rasa hiba semakin menggigit-gigit perasaan.

Bockenheimer Warte
Saya malah pernah menitiskan air mata apabila melihat beberapa orang ibu-ibu berketurunan Turki yang berjubah dan bertudung memilih-milih buah-buahan atau sayur di kedai. Jika itu berlaku, cepat-cepat saya kesat air mata atau segera menggosok-gosok mata dengan lagak kononnya  hembusan angin telah menyebabkan sesuatu benda menerjah bebola mata saya. Saya jadi pelik dengan perangai saya sendiri – kenapa ‘terlalu’ perasa? Saya bukan insan yang terlalu perasa seperti ini sebelumnya. Sifat perasa ini semakin menjadi-jadi apabila kulit menjadi begitu kering, berkerut-kerut dan mengelupas.
Dedaunan kuning musim luruh yang menimbulkan rasa hiba
Taman sebelah Rumah Tamu Goethe-University of Frankfurt
Terasa diri lebih cepat menjadi  tua dalam iklim  dingin  ini. Kulit muka mulai mengelupas dengan teruk. Apabila suhu malam jatuh sekitar -2 darjah celsius, dan siangnya  paling tinggi hanya sekitar 12 darjah celsius, maka hari-hari terpaksa mandi air panas dengan suhu yang tinggi. Hal ini menyebabkan kulit semakin teruk mengelupas. Kulit mukalah yang  paling cepat menampakkan tindak balas, hingga rasa teramat segan hendak bertemu dengan orang. Di Department of Southeast Asian Studies,  Goethe-University of Frankfurt (U of F) pula, kerap ada majlis dengan sarjana dari luar, pegawai dari universiti di Malaysia atau dengan wakil kedutaan seperti dengan Konsulat General Indonesia dan Thailand.
Bersama Prof Arndt melayan tetamu dari Malaysia, iaitu Bendahari dan Pendaftar Universiti Putera Malaysia.
Hal ini menyebabkan perasaan menjadi semakin tertekan. Lalu, saya suarakan  perasaan saya yang pelik ini kepada Ibu Hedy,  pensyarah Bahasa Indonesia (U of F) dan penterjemah bebas bahasa Indonesia-German. Ibu Hedy saya temui hanya pada hari Isnin, sebab dia tinggal di Stuggart, sebuah kota industri di German. Jarak kota ini ke Frankfurt, lebih daripada 100 km, dan untuk datang ke Frankfurt, dia perlu mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit dengan menaiki kereta api.  Saya dikhabarkan, ramai pelajar Malaysia belajar bidang teknologi di kota berkenaan.
Menurut Ibu Hedy, saya kena menukar produk  jagaan kulit. Maknanya, produk kosmetik yang dibawa dari Malaysia tidak sesuai lagi digunakan di sini lagi. Sama seperti pakaian, kosmetik di negara empat musim perlu ditukar setiap kali musim berubah. Semua produk berasaskan  hidro tidak sesuai sama sekali digunakan pada musim sejuk (autumn dan winter), kerana cuaca sejuk dan kering memerlukan produk berasaskan minyak. Aduh… belanja hidup ternyata jadi tinggi di negara empat musim ini kerana hal-hal yang serupa ini. Saya dicadangkan ke Alnatura, sebuah pasaraya yang  menjual  produk semula jadi seluruhnya. Saya  pergi dan dari Pasaraya Alnatura saya membeli tiga produk pelembab semula jadi. Memang menakjubkan kerana dalam masa tiga  hari sahaja, kulit muka yang mengelupas itu, pulih sepenuhnya. Syukur kepada Allah SWT.
Namun perasaan mudah tersentuh dan cepat  menangis itu masih tidak berubah, meskipun kulit sudah mulai pulih. Jadi, ternyata bukan masalah kulit yang menjadi punca kepelikan perasaan ini. Jadi kerana apa?  Kehairanan terhadap keadaan perasaan ini akhirnya terjawab apabila Profesor Arndt bertanyakan saya, adakah saya mengalami apa-apa perubahan perasaan? Maksudnya, adakah saya tiba-tiba sahaja berasa sedih, mudah menangis, diselubungi rasa sebak dan pilu atau cepat tersentuh. Saya terperanjat dengan soalan itu..kerana Prof. Arndt seperti memahami perubahan perasaan yang saya tanggung. Jadi, dengan pantas saya mengakuinya. Katanya,  jika cuaca begitu suram, mendung atau matahari tidak menonjolkan wajahnya, maka orang kulit berwarna akan menjadi murung (depression).
Cuaca tanpa matahari dan pohon-pohon tanpa daun yang menggamit rasa sayu
Wah!… Saya mendapat ilmu baru tentang hal ini. Prof. Arndt minta saya keluar berjalan-jalan setiap hari jam 12.00 tengah hari, supaya kulit saya dapat menyerap cahaya matahari. Apabila saya melakukannya, memang saya rasa lebih gembira. Demikianlah kehebatan Allah Yang Maha Kuasa, mengurniakan perbezaan iklim dengan  perbezaan emosi manusia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s