BAIK BURUKNYA LAMAN WEB FACEBOOK

Rumah Bendahara 1978

Pertemuan rakan mantan  SMTK dari Sarawak dan Semenanjung
Sejak wujudnya laman sosial face book, timbul bermacam-macam pandangan orang ramai tentang laman berkenaan. Ada yang suka dan ada pula yang mengkritiknya.  Diberitakan bahawa ramai pelajar sekolah, kolej dan universiti yang merosot keputusan peperiksaan mereka kerana edicted dengan laman  face book ini. Namun, ada segelintir pelajar yang membantah berita itu sebab mereka mendapat banyak manfaat dari face book, misalnya dapat berbincang dan berkongsi maklumat tentang sesuatu tugasan dengan pantas dan merangkumi ramai orang.
Sebenarnya, terpulang kepada kebijaksanaan seseorang itu untuk memanfaatkan laman sosial face book ini. Jika pandai memanfaatkannya, maka dapatlah faedahnya dan begitu jugalah sebaliknya. Jika diperhatikan, ada orang yang menggunakan face book  untuk menulis suara hatinya;  ada yang memanfaatkannya untuk menyebarkan nasihat melalui nota-nota berisi pendidikan agama dan moral;  ada yang menggunakannya untuk berbicara dengan mudah dalam jarak  jauh dengan sanak saudara dan sahabat handainya kerana tinggal atau bekerja di sesebuah negara di benua tertentu  ataupun di negeri tertentu. Malah, ada yang menggunakan laman face book ini  untuk memperkenalkan dan menyebar luaskan  perniagaannya. Namun demikian, tidak kurang pula ada yang menjadikan face book ini sebagai wahana untuk mencaci, memfitnah, memperlekeh  dan mengkritik orang, parti politik, organisasi atau apa sahaja yang tidak digemarinya.
Sepatutnya, kemudahan laman sosial face book ini digunakan dengan cara yang baik. Samalah juga dengan blog. Kedua-duanya harus digunakan dengan baik supaya membawa kemaslahatan kepada semua  insan. Justeru apabila kita mahu menulis  sesuatu, kita perlu berfikir, ingat dan berpegang kepada pesanan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, iaitu:
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kalian. Kemudian jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah  kepada Allah (Al Qur`an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [ al- Quran: Surah an-Nisa`:  ayat 59 ]
Sementara itu, dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdirrahman Mu’adz bin Jabal, mereka meriwayatkan suatu hadith daripada  Rasulullah SAW, iaitu:
“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah perbuatan yang baik kerana perbuatan yang baik itu nescaya akan   menghapuskan  perbuatan yang  jelek, dan berakhlaklah kamu kepada manusia lain dengan  akhlak yang baik.”
Ayat al-Quran dan hadith Rasulullah SAW itu tenyata amat baik untuk membimbing manusia ke arah jalan yang benar dan lurus. Lagipun, sebelum Rasulullah SAW wafat, baginda telah berpesan, bahawa ditinggalkan olehnya kepada umatnya dua perkara, iaitu kitab al-Quran dan sunnahnya. Selagi kita taat, maka kita tidak akan sesat dalam perjalanan hidup di dunia yang sementara ini sebelum kita menuju alam akhirat yang kekal abadi.
Bagi saya sendiri yang kini jauh dari tanah air tercinta kerana telah 6 bulan menjadi Visiting Lecturer dan Visiting Fellow di Goethe-University of Frankfurt, di negeri Hessen di negara Germany ini, face book adalah wahana paling mudah yang menghubungkan saya dengan para pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi  yang saya ajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang; dengan penghuni Desasiswa Restu iaitu tempat di mana saya menjadi Penggawanya sejak tahun 2007; dengan sebilangan kawan di USM; malah dengan sahabat sepersekolahan di Sekolah Menengah Tengku Kudin (SMTK), Raub, Pahang yang telah tidak ditemui sejak 30 tahun dahulu. Malah, kerana face book jugalah, mantan pelajar SMTK tahun 1978 hingga 1980 dapat berkumpul dengan beberapa orang guru tersayang di Hotel Putera Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2010 yang lalu. Saya yang jauh dan tidak dapat hadir juga dapat melihat majlis itu secara dekat kerana beberapa orang sahabat telah sudi menaikturunkan (upload) video dan gambar majlis itu melalui face book.
Demikianlah, jika menggunakan apa pun wahana untuk kebaikan, maka faedah dan pahalalah yang boleh kita raih. Begitulah juga sebaliknya. Jadi, fikir-fikirkanlah  sebelum berbuat sesuatu kerana Allah SWT melihat apa sahaja yang kita lakukan, meskipun secara bersembunyi-sembunyi.
Antara mantan guru dan pelajar SMTK 1978-1980 yang hadir
Cikgu Mat Baee dan Cikgu Tajuddin
Rakan sekolah 1979
(CATATAN 11 NOVEMBER 2010)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s