PERISTIWA DITAHAN POLIS DI GERMANY

Hari ini, 30 Ogos 2010. Esok ulang tahun kemerdekaan Malaysia dari kuasa penjajahan bagi kali ke 53. Wah, hati berkobar-kobar ingin mengibarkan jalur gemilang sambil meneriakkan merdeka selepas menyanyikan lagu “Negaraku” beramai-ramai.

Lantas, saya segera pergi ke bilik Profesor Ardnt dan Mr. Holger Warnk, menyatakan hasrat mahu ke Konsulat Malaysia, tapi tidak tahu di mana tempatnya. Cuma alamatnya saya telah  cari dalam internet, iaitu di Level 18, Kastor, Platz der Einheit 1, Frankfrut am Maim, 60327.
                                                                                                  Nama jalan di mana letaknya Pejabat Konsul Malaysia di Frankfurt
Mr. Holger dengan senang hati mahu menghantar, cuma saya harus memilih untuk berjalan kaki ataupun menaiki Urban (train bawah tanah). Kalau berjalan kaki pun  katanya, tidak jauh kerana dari Johann Wolfgang Universität cuma jaraknya satu stesyen Urban (lebih kurang dari USM ke Bukit Jambul). Saya memilih untuk berjalan kaki dalam cuaca sejuk 15°C kerana banyak benda boleh dilihat di atas muka bumi ini berbanding dengan dinding-dinding batu dan landasan kereta api di bawah tanah itu.
Kami berjalan laju, melawan angin dan cuaca dingin sambil saya diterangkan olehnya tentang rancangan pengajian di bahagian kami dan tentang konvensyen buku terbesar dunia di Kota Frankfurt. Tidak lama kemudian terlihat kibaran bendera Malaysia bersama puluhan bendera lain di hadapan sebuah gedung festival yang besar.
Bendera Malaysia berkibar megah bersama-sama bendera negara lain berhampiran Penjabat Konsulat Malaysia, Frankfurt
Hati berasa amat bangga menjadi anak Malaysia apabila melihat kibaran bendera sebuah negara yang esok akan menyambut ulang tahunnya yang ke-53. Kami kemudiannya sampai ke bangunan  yang bernama Kastor itu dan selepas menunjukkan laluan masuk, Mr. Holger bermohon diri untuk pulang kembali ke kampus.
Saya dengan semangat berkobar-kobar terus menaiki lift ke tingkat 18. Biasalah bangunan konsulat di mana-mana pun, pintunya dikawal rapi oleh kekunci elektronik. Saya menekan loceng dan disambut oleh seorang wanita Eropah. Kecewa saya kerana penyambut tetamunya seorang wanita Eropah, dan bukannya orang Malaysia, sedangkan itu Konsulat Malaysia.  Saya justeru hairan, mengapa di Konsulat Jeneral Indonesia yang menyambut saya adalah orang Indonesia sendiri. Kalau adapun orang asing, mereka fasih berbahasa Indonesia. Ah, biarlah. Inilah masalahnya pada saya kerana kajian saya adalah tentang pascakolonial. Dalam situasi sepeti itu, saya berasa masih terjajah sedangkan esok, Malaysia bakal merayakan ulang tahun yang ke-53. Maknanya sudah melebihi setengah abad! Namun kemudiannya saya tahu dari Encik Marzuki, konsul paling kanan di Konsulat itu bahawa memang perlu orang Germany yang menjaga kaunter sebab yang berurusan dengan Konsulat Malaysia adalah rakyat Germany yang mahu ke Malaysia, sama ada sebagai pelancong, pelajar ataupun pekerja.
Saya seterusnya bertanya gadis Eropah yang cantik itu  tentang sambutan kemerdekaan dan sambutan hari raya pada 10 November kelak. Dia kata tidak tahu, tetapi dia menghantar saya kepada Encik Marzuki, Pemangku Konsulat Jeneral di Frankfrut. Konsulat Jeneral khabarnya baru berpindah ke kota New York. Apabila kami berbicara, khabar duka saya terima kerana “tiada perayaan ulang tahun kemerdekaan” pada tahun ini sebab tiada peruntukan. Aduh.. semangat yang tadinya berkobar-kobar gugur semuanya seperti kelopak mawar yang gugur ditiup angin kencang! Namun, nasib baik lah sambutan hari raya akan diadakan. Tidaklah sunyi sangat saya nanti  dan terasa terlonta-lonta di parantauan ini. Saya dipelawa oleh Encik Marzuki untuk solat hari raya di konsulat. Saya kemudiannya meninggalkan Konsulat Jeneral Malaysia dengan perasaan separuh hampa, separuh gembira. Saya hampa kerana telah melihat bagaimana rakyat Indonesia menyambut ulang tahun kemerdekaan mereka dengan sungguh bersemangat pada 17 Ogos yang lalu. Dalam hujan renyai, suhu yang dingin dan  dalam keadaan berpuasa sebahagiannya, mereka bernyanyi lagu “Indonesia Raya” dengan begitu bersemangat.
Saya pulang semula ke kampus dengan berjalan juga kerana berhasrat untuk mengambil beberapa gambar pemandangan yang cantik yang saya lihat ketika datang tadi.
                                                                                                                                                           Arca bergerak berhampiran Pejabat Konsulat Malaysia
Ketika melewati Bangunan Fakulti Matematik (kampus universiti ini besar dan tidak berpagar), saya ditahan oleh seorang lelaki.
                                                                                                                                                              Fakulti Matematik Johann Wolfgang Universitat
Dari wajahnya ternyata dia bukan warga Jerman. Dia mengunjukkan telefon bimbitnya dan menyuruh saya pegang sambil berbicara dalam bahasa Jerman. Saya tidak mahu dan berulang kali menuturkan “Sorry, I can’t understand. I can’t speak Germany”. Tiba-tiba lelaki itu bertutur di dalam bahasa Inggeris. Dia minta saya tolong  mengambil gambarnya dengan berlatarbelakangkan bangunan Fakulti Matematik untuk dibuat kenang-kenangan. Katanya dia pelancong dari Bangladesh. Saya sempat berfikir..oh, patutlah dia boleh bertutur dalam bahasa Inggeris!.
Dia menunjukkan lokasi di mana dia mahu dipotretkan. Agak terlindung tempatnya kerana ada pokok Walnut dan sebuah van pengangkut barang kitar semula. Dia mengarahkan saya berundur beberapa kali hingga tubuh saya semakin masuk ke kawasan berpokok. Matanya meliar memandang ke kiri dan ke kanan. Hati saya suci bersih dan langsung tidak terfikir yang buruk-buruk ketika itu. Baru sahaja saya hendak menekan punat telefon bimbit orang Bangladesh itu, tiba-tiba saya disergah: “I’m police. Show me your pasport!”.
Muka saya mungkin pucat sebab terkejut disergah, dan yang menyergah itu seorang polis tanpa unifom. Betulkah polis?. Akan tetapi saya lihat, orang Bangla itu terketar-ketar. Polis itu faham agaknya saya terkejut, lalu dia mengeluarkan kad kuasanya. Jelas dia seorang detektif! Mula-mula orang Bangla itu yang kena soal, diminta paspotnya dan diselongkar beg duitnya. Kemudian saya pula. Kebetulan saya membawa beg galas kuning yang dibeli sewaktu melawat Cambodia bersama-sama pelajar Desasiswa Restu dan Tekun dahulu. Polis itu bilang duit saya yang cuma beberapa € saja itu. Duit lelaki Bangla itu ternyata ratusan €. Kemudian dia menyuruh lelaki itu pergi.
Polis itu bertanya saya dari mana dan mahu ke mana. Saya ceritakan bahawa saya dari konsulat dan mahu pulang ke kampus. Dia tanya saya bila tiba di Frankfurt, untuk apa, dan tinggal di mana. Saya jelaskan kepadanya satu persatu. Dia nasihati saya supaya awas dan jaga diri saya baik-baik sebab selalu terjadi kes orang dari negara-negara “TERTENTU” (saya warnakan, tulis dalam huruf besar dan masukkan pengikat kata untuk menunjukkan maksud polis itu) yang buat macam yang saya kena tadi dengan tujuan untuk menyamun. Kerana itulah dia periksa beg duit saya dan minta paspot saya sebab dia  bimbang saya telah disamun. Kemudian, dia menghulurkan tangannya dan mengharapkan saya gembira di Frankfurt.
Saya berjalan pulang dengan hati yang lega kerana terselamat dari bencana. Sesungguhnya Allah melindungi orang yang berpuasa! Syukur, alhamdulillah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s