PENSYARAH DAN BUKU

Standard

Kata pepatah orang tua-tua, gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama. Kata pensyarah saya yang cukup saya  kasihi dan hormati, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dato’ Haji Shahnon Ahmad, ketika saya mengikuti kelasnya semasa mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar tahun-tahun 1992-1996 dahulu, nama yang patut ditinggalkan adalah dalam bentuk penghasilan buku. Katanya lagi, selagi buku itu dikaji atau digunakan orang, maka selagi itulah nama akan dikenang orang, meskipun jasad telah tiada di muka bumi ini. Justeru tidak hairanlah jika acap kali bertemu dengan Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang kini menjadi rakan sekerja di USM, pertanyaan tentang menulis buku sering menjadi  keutamaannya. Kedua-dua orang Sasterawan Negara ini memang patut dikagumi kerana ketokohan akademik, ketajaman akal, daya cipta kreatif  yang luar biasa dan penghasilan buku yang banyak!

Terbitan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM
Pada dasarnya pun, menjadi pensyarah memang kena menulis. Hari-hari kena menulis,  tidak kiralah sama ada menulis nota kuliah, kertas kerja, esei, karya kreatif, buku sendiri, bab dalam buku orang  atau lain-lainnya. Otak memang terpaksa dan dipaksa untuk  sentiasa berfikir, menyelidik dan meneroka perkara baru. Pada tahun 2010 ini, atas izin Allah SWT, dua buah buku telah dapat diterbitkan. Buku pertama ialah Buku Modul PIMPIN Siswa, yang dikerjakan bersama-sama dengan Encik Khairul Eruwan Abdul Halim, Ketua Sektor Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar. Kami berdua bertindak sebagai Ketua Editor. Buku yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, USM ini telah dilancarkan oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada 9 Julai 2010, sempena Majlis Sambutan Siswa Baru, Minggu Siswa Lestari, USM di Dewan Tunku Syed Putra (DTSP).
Buku ini memaparkan beberapa modul latihan untuk menerapkan Kemahiran Insaniah kepada para pelajar Tahun 1 USM. Modul ini dirangka  khusus untuk diamalkan di USM berikutan penarafan USM sebagai Universiti APEX pertama di Malaysia. Justeru USM telah merangka MyCSD  [Continous Student Development] sebagai  satu kaedah  untuk memberikan pengiktirafan kepada pelajar berkaitan semua aktiviti ko-kurikulum yang mereka sertai sepanjang pengajian di USM. Pengiktirafan ini membolehkan pelajar USM mempunyai dua skrol, iaitu skrol akademik dan skrol ko-kurikulum  yang mengandungi maklumat lengkap berkaitan dengan kegiatan  ko-kurikulum mereka. Hal ini dijangkakan akan menyebabkan   pelajar lepasan USM mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi di dunia pekerjaan.  Antara yang terlibat dalam penulisan buku ini adalah saya sendiri, Encik Khairul Eruwan Abdul Halim, Encik Nazru Haji Ismail, Dr. Nazarudin Zainun, Prof. Madya Dr. Mohammad Nasir Mohammad Ibrahim, Prof. Madya Dr. Ahmad Tajuddin,  Encik Zulkifli Che Hussin, En. Abdul Rashid Rejab dan beberapa yang lain. Profesor Dato’ Dr. Omar Osman selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) bertindak sebagai pengerusi dalam pembentukan buku modul ini.
Berikutnya, sebuah lagi  buku yang yang berhasil diterbitkan pada tahun 2010 ini adalah sebuah buku ilmiah berjudul Fiksyen Pascakolonial: Yang Menjajah dan Yang Dijajah.
         
Buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini memperkatakan zaman pemerintahan kolonial Inggeris di Tanah Melayu (Malaysia) dan pemerintahan kolonial Belanda di Indonesia. Pada zaman getir itu, penjajah memandang anak watan atau peribumi di kedua-dua buah negara ini sebagai bangsa liar, pemalas dan bodoh. Maka mereka (orang Eropah berkulit putih) sebagai bangsa pilihan Tuhan terpaksa menanggung beban suci (teori The White Man’s Burden) untuk mentamadunkan bangsa di kedua-dua buah negara ini. Kemerdekaan yang dicapai oleh Indonesia pada tahun 1945, dan Malaysia 12 tahun kemudiannya, iaitu pada tahun 1957, telah menyebabkan anak watan yang sebelumnya telah mendobrak kuasa penjajahnya secara sembunyi-sembunyi menjadi lebih bebas dan terbuka untuk menentang penjajahnya. Semua kisah penjajahan dan pendobrakan anak watan untuk meruntuhkan hegemoni penjajah masing-masing di kedua-dua buah negara ini telah disuratkan melalui daya kreatif yang mempersonakan oleh dua orang tokoh pengarang besar, iaitu Sasterawan Negara Keris Mas (Malaysia) dan Mochtar Lubis (Indonesia) di dalam karya-karya mereka. Justeru, buku ini menyorot dengan rinci penjajahan dan penindasan yang dilakukan oleh kedua-dua kuasa penjajah ini dalam aspek politik, ekonomi dan sosial di tanah  jajahan masing-masing. Anak watan telah diperlihatkan dinafikan hak mendapatkan pendidikan yang berkualiti, menikmati kekayaan ekonomi di tanah air sendiri, membentuk cara pemerintahan sendiri, lantas  menjadikan mereka  manusia yang ambivalen dan kehilangan jati diri. Kesedaran akan pentingnya maruah dan harga diri membuatkan segelintir daripada mereka bangun menjadi pejuang untuk meruntuhkan dominasi penjajah masing-masing. Ternyata, perjuangan anak watan Indonesia untuk merebut kemerdekaan itu jauh lebih getir, hingga menuntut korban yang besar, darah dan airmata berbanding dengan perjuangan anak watan di Malaysia. Karya kedua-dua orang pengarang besar Malaysia dan Indonesia ini telah dibicarakan di bawah korpus Kesusasteraan Pascakolonial.
Begitulah sorotan sepintas lalu tentang dua buah buku saya ini.  Harap dapat pembantu para pencinta buku, ahli akademik  dan pelajar khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi untuk mengetahui isinya. Jika diteliti,   pembicaraan tentang teori dan kesusasteraan pascakolonial di institusi pengajian tinggi  merupakan suatu perbincangan yang hangat dan penting lantaran penjajahan masih belum berakhir pada era dunia moden ini kerana   banyak lagi negara yang “masih terjajah,” misalnya Palestin, Iraq dan Afghanistan.
About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s